Ciri-ciri Masyarakat
Arab Jahiliah
Secara
umum, masyarakat Arab Jahiliah boleh dikategorikan kepada dua golongan,
iaitu masyarakat Badwi dan masyarakat Hadari. Masyarakat Badwi tinggal di
kawasan gurun dan pedalaman, iaitu di bahagian tengah Semenanjung Tanah
Arab. Masyarakat Hadari pula menetap di kawasan pesisiran pantai
Semenanjung Tanah Arab. Oleh sebab kawasan petempatan mereka berbeza, maka,
secara tidak langsung cara hidup dan pencapaian masyarakatnya juga berbeza.
Ciri-ciri kehidupan masyarakat Arab Jahiliah dapat dilihat dari segi agama,
sosial, ekonomi, kepercayaan dan nilai hidup yang dipegang.
Masyarakat Arab
Jahiliah mengamalkan perbuatan yang tidak bermoral seperti berjudi, berzina
dan meminum arak. Mengikut fahaman mereka, seseorang lelaki yang meminum
arak sehingga mabuk menunjukkan mereka telah sempurna sebagai lelaki.
Kedudukan lelaki dalam masyarakat Arab Jahiliah pula adalah rendah sehingga
mereka tidak dapat mewarisi harta pusaka tinggalan ibu bapa mereka.
Terdapat dalam kalangan mereka yang menanam bayi perempuan hidup-hidup
sejurus dilahirkan. Pembunuhan terhadap bayi perempuan dilakukan kerana
mereka beranggapan anak perempuan akan menjatuhkan maruah keluarga. Dalam
soal perkahwinan pula, tidak ada peraturan khusus yang boleh dijadikan
sebagai panduan oleh masyarakat Arab Jahiliah. Seseorang lelaki boleh
berkahwin dengan beberapa orang wanita sekali gus atau dengan sesiapa yang
disukainya.
Aktiviti
perniagaan yang dijalankan oleh para pedagang berasaskan riba dan
penindasan. Sikap para pedagang pula lebih mementingkan keuntungan dan
kekayaan semata-mata. Kegiatan merompak dan merampas barangan
daripada kafilahdi padang pasir
juga merupakan punca mata pencarian masyarakat Arab Jahiliah. Merompak
dikatakan sebagai kewajipan yang harus dilakukan oleh setiap individu dan
setiap kabilah. Selain itu, eksploitasi golongan kaya terhadap golongan
miskin merupakan amalan biasa yang dilakukan oleh golongan berada.
Terdapat empat
bentuk kepercayaan agama dalam masyarakat Arab Jahiliah, iaitu agama
wathani (menyembah berhala), animisme (memuja alam seperti pokok), samawi
(Kristian dan Yahudi) dan kepercayaan (seperti menilik nasib, sihir, dan
mempercayai roh orang mati menjadi burung).
Berdasarkan
catatan al-Quran terdapat sebilangan kecil masyarakat Arab Jahiliah
menganut agama Hanif. Setelah kira-kira 3500 tahun, penganut agama Hanif
telah melupakan ajaran ini secar beransur-ansur. Terdapat juga dalam
kalangan mereka yang mencampuradukkan ajaran agama Hanif dengan amalan
tradisi masyarakat Arab Jahiliah.
Masyarakat Arab
Jahiliah mengamalkan Sistem Kabilah yang berasaskan cara hidup berpuak-puak
dan berkelompok. Dalam sesebuah kabilah, ahlinya terdiri daripada suku
tertentu dan mereka tinggal dalam sesebuah kawasan. Setiap kabilah
mempunyai identiti dan peraturannya sendiri sementara ahli kabilah pula
sangat taasub dan fanatik terhadap kabilah masing-masing. Sesuatu kabilah
diketuai oleh seorang syeikh yang juga merupakan lambang perpaduan kaum
mereka. Pelantikan syeikh dalam sesebuah kabilah adalah berdasarkan
syarat-syarat tertentu. Antaranya, bakal syeikh tersebut mestilah disukai
oleh ahli kabilah dan dilantik atas persetujuan ramai. Beliau juga mestilah
berfikiran matang, gagah, berani dan pandai berpidato.
*Kafilah
Kumpulan manusia yang bergerak dari satu tempat ke satu
tempat dengan satu tujuan, contohnya berniaga atau berpindah.
*Khurafat
Kepercayaan karut atau tahyul
- Antara
kepercayaan khurafat:
1. mempercayai perjalanan yang ingin dilakukan oleh
seseorang mesti berpandukan arah burung
2. mempercayai sihir dan ramalan ahli nujum
3. mempercayai pemakaian cincin perak dan tembaga boleh
menjadikan seseorang itu kuat
*Sebelum
kemunculan Islam telah wujud agama yang diturunkan oleh Allah kepada
nabi-nabi terdahulu.
- Agama Hanif disampaikan oleh
Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s..
- Penganut agama ini digelar
Hunafah
- Pengikut ajaran agama Hanif
pada zaman sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. ialah:
1. waraqah bin Naufal
2. Uthman bin Huwairith
3. Abdullah bin Jahsh
4. Umaiyah bin Abi Salt
Kehidupan Nabi
Muhammad s.a.w. Sebelum Dilantik Menjadi Rasul
Nabi
Muhammad s.a.w berasal daripada keturunan pemimpin Makkah yang terkenal,
iaitu Qusai bin Kilab, namun, keturunan Nabi Muhammad sering dirujuk
kepada Hasyim, iaitu moyang baginda. Qusai ialah pemimpin Arab Quraisy
yang telah mentadbir Makkah, kira-kira 100 tahun sebelum kelahiran Nabi
Muhammad s.a.w. Dengan penguasaan terhadap Makkah, Kaabah dan telaga
zamzam juga dapat dikuasai oleh keluarga Nabi Muhammad s.a.w Keturunan
Nabi Muhammad s.a.s memang bijak dalam urusan pentadbiran Makkah dan
mereka juga mahir dalam selok-belok perniagaan.
Selain Qusai,
Abdul Manaf dan Hasyim, Abdul Muttalib, iaitu datuk Nabi Muhammad s.a.w.
juga pernah memerajui kepimpinan Makkah pada Zaman Jahiliah.
Nabi Muhammad
s.a.w berketurunan bangsa Quraisy yang sangat dihormatI oleh kabilah Arab
yang lain. Nama penuh baginda ialah Muhammad bin Abdullah. Bapa baginda
ialah Abdullah bin Abdul Muttalib dan ibu baginda Aminah binti Wahab.
Nabi Muhammad s.a.w. telah dilahirkan pada 20 April, tahun 570 M, iatu
pada malam Isnin bersamaan 12 Rabiulawal pada Tahun Gajah Nabi Muhammad
s.a.w dilahirkan di rumah datuk baginda Abdul Muttalib dan
beliau telah menamakan baginda Muhammad yang bermaksud terpuji.
Bapa baginda
meninggal dunia pada ketika Nabi Muhammad s.a.w. masih dalam kandungan
ibunya. Setelah beberapa hari dilahirkan, Nabi Muhammad s.a.w. telah
diserahkan kepada Halimatus Sa’diyah untuk dipelihara dan disusui. Pada
ketika berusia enam tahun, ibu baginda, Aminah binti Wahab pula telah
meninggal dunia dan baginda telah dipelihara oleh datuk baginda, Abdul
Muttalib. Selepas Abdul Muttalib meninggal dunia, baginda dipelihara pula
oleh Abdul Talib iaitu bapa saudara baginda. Dengan ini Nabi Muhammad
s.a.w. telah menjadi yatim piatu sejak berumur enam tahun. Kaum keluarga
baginda pula sangat prihatin terhadap terhadap baginda dan seterusnya
sanggup pula membela dan memberikan kasih saying yang sewajarnya.
Sejak kecil
baginda telah menempuh pelbagai pengalaman hidup yang mencabar. Dari segi
pekerjaan, baginda pernah menggembala kambing kepunyaan bapa saudara
baginda, Abu Talib. Pengalaman baginda dalam bidang pernigaan pula
diperoleh sejak baginda berusia 12 tahun, iaitu dengan mengikut rombongan
perniagaan bapa saudara baginda ke Syam, sebuah kawasan yang terletak di
utara Semenanjung Tanah Arab. Selain itu, kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
telah diramalkan oleh seorang pendeta Nasrani bernama Buhaira, semasa
rombongan ini singgah di basrah.
Pemerhatian
terhadap peristiwa yang berlaku sepanjang menyertai rombongan perdagangan
bapa saudara baginda ke Syam telah memperkaya lagi pengalaman baginda.
Pada ketika
berusia 20 tahun, baginda lebih giat berdagang dan baginda pernah berniga
secara berseorangan dan berkongsi dengan temannya. Abu Talib, bapa
saudara Nabi Muhammad s.a.w., menginginkan baginda mempunyai pekerjaan
tetap. Oleh itu, Abu Talib telah mencadangkan agar baginda menjalankan
perniagaan Khadijah binti Khuwailid. Abu Talib telah menemui Khadijah
danmeminta agar baginda diterima sebagai peniaga yang menjalankan urusan
dagangan Khadijah.
Baginda
menguruskan perniagaan Khadijah bersama-sama Maisarah, iaitu hamba
Khadijah. Kemuliaan budi pekerti, sifat amanah, dan kebolehan baginda
menjalankan perniagaan telah menarik hati Khadijah untuk terus memberikan
modal yang lebih besar kepada baginda. Kebijaksanaan dan kelembutan tutur
kata baginda serta kepandaian baginda mengambil hati mereka yang berurus
niaga dengan baginda menyebabkan perniagaan baginda memperoleh keuntungan
yang berlipat ganda. Ketinggian budi pekerti dan kebijaksanaan Nabi
Muhammad s.a.w. berniaga telah menimbulkan perasaan hormat Khadijah
terhadap baginda dan hubungan ini telah membawa kepada perkahwinan.
Peristiwa ini berlaku pada ketika baginda berumur 25 tahun dan Khadijah
pula berusia 40 tahun.
Keperibadian Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w memiliki
empat sifat terpuji yang utama, iaitu siddiq (berkata benar), amanah
(dipercayai), tabliq (menyampaikan) dan fatanh (bijaksana). Sifat
siddiq Nabi Muhammad s.a.w. diakui sendiri oleh orang Arab Quraisy
semasa dakwah Islamiah dilakukan di Makkah.
Baginda
digelar al-Amin oleh orang Arab Quraisy kerana perkataan dan perbuatan
baginda sentiasa dipercayai dan tidak pernah berbohong. Panggilan
al-Amin terhadap Nabi Muhammad telah menjadi sebati di kalangan
masyarakat Arab sehinggakan panggilan Nabi Muhammad tidak digunakan.
Sifat amanah yang dimiliki oleh Nabi Muhammad telah menyebabkan
Khadijah binti Khuwailid meyerahkan modal yang besar kepada baginda
untuk baginda untuk diperniagakan. Setelah dilantik menjadi rasul,
baginda telah menyampaikan ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh
walaupun menghadaoi pelbagai rintangan.
Kewibawaan baginda
sebagai tokoh pemimpin yang unggul terbukti sebelum dilantik menjadi
rasul. Contohnya, semasa berumur 35 tahun, baginda pernah menyelesaikan
suatu persengketaan di kalangan Arab Quraisy. Persengketaan itu
berpunca daripada peristiwa untuk meletakkan semula Hajar Aswad (batu hitam )ke tempat
asalnya, iaitu penjuru timur Kaabah.Hajar Aswad ini terjatuh semasa
banjir melanda kota Makkah.
*Peristiwa
Perletakan Semula Hajar Aswad
Banjir menyebabkan Hajar Aswad terjatuh daripda posisi
asalnya. Semasa hendak meletakkannya semula timbul pertelingkahan dalam
kalangan kabilah Arab Quraisy. Mereka bersepakat untuk melantik Nabi
Muhammad s.a.w. sebagai hakim. Untuk menyelesaikan masalah
tersebut, Nabi Muhammad s.a.w. telah meletakkan Hajar Aswad di atas
rentangan kain serban. Wakil setiap kabilah diminta memegang setiap
bahagian kain serban itu. Selepas itu Nabi Muhammad s.a.w. meletakkan
sendiri Hajar Aswad ke tempat asalnya.Tindakan baginda itu menyebabkan
semua kabilah berpuas hati.
*Hajar
Aswad
Hajar Aswad telah
ada di sisi kaabah sebelum Nabi Muhammad s.a.w. lahir.Kedatangan Islam
yang dibawa oleh Nabi Muhammad tidak mengubah posisinya.
Umat-umat Islam
yang bertawaf di kaabah dianjurkan untuk menghormatinya.
Baginda
merupakan ketua keluarga yang patut dicontohi kerana sifat
kepimpinannya serta sifat pengasihnya dan timbang rasanya. Baginda
sertng membantu isterinya memasak, melayan anak, menampal pakaian yang
koyak gan membersihkan rumah. Anak;anak diberikan pendidikan agama
secukupnya dan baginda menjadikan diri baginda teladan kepada
anak-anaknya.Hal ini menunjukkan baginda mengamalkankehidupan yang
sederhana.
Walaupun
kedudukan baginda tinggi dan dihormati masyarakat tetapi baginda
sentiasa merendah diri memandangkan baginda bergaul dengan segenap
lapisan masyarakat. Selain itu, baginda juga bersikap penyayang
terhadap orang tua dan kanak-kanak. Semasa pembukaan semula kota Makkah
pada tahun630M., baginda telah menunjukkan sifat pemaaf.Contohnya,
orang Arab Quraisy yang menyerah diri telah diampunkan dan dibebaskan.
Nabi
Muhammad s.a.w. juga terkenal dengan sifat bijaksana dalam
menyelesaikan masalah. Sifat ini terserlah semasa baginda memeterai
Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 628M. dengan orang Arab Quraisy
Makkah.Walaupun kandungan perjanjian tersebut kelihatan berat sebelah,
baginda menerimanya sebagai hikmah untuk menyebarkan Islam seterusnya.
Sebelum
dilantik menjadi rasul, baginda sering memikirkan kehidupan masyarakat
di sekelilingnya yang tidak bermoral dan taasub dengan amalan jahiliah.
Nabi Muhammad s.a.w. mula berusaha mencari suatu cara untuk dapat
mengubah nilai yan dipegang oleh masyarakat di sekelilingnya. Baginda
bertahannuth(mengasingkan diri untuk beribadat) kepada Allah di Gua
Hirak yang terletak di Bukit Nur(Jabal Nur). Walaupun Gua Hirak
terletak di puncak Bukit Nur tetapi baginda dengan sabar dan tabah
mendakinya semata-mata untuk mendapatkan tempat beribadat yang sunyi
dan tenang. Dengan sepenuh jiwa raba baginda menyerahkan diri kepada
Allah dan memikirkan masalah yang dihadapi oleh kaum Arab Quraisy
Makkah.
Selepas
lebih kurang 6 bulan Nabi Muhammad s.a.w. berulang-alik dan
bertahannuth di Gua Hirak, akhirnya, pada 6 Ogos tahun 610M.,bersamaan
17 Ramadhan, Allah telah menurunkan wahyu pertama
kepada Nabi Muhammad s.a.w.melalui Jibril.Pada waktu itu,
Nabi Muhammad s.a.w.berumur 40 tahun.Dengan turunnya wahyu ini, bermula
era baru dalam sejarah tamadun masyarakat Arab Jahiliah. Wahyu ini juga
menjadi tanda pemisah antara Zaman Jahiliah dengan Zaman Islam.
Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
Wahyu
pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. ialah surah
al-Alaq ayat 1-5 yang memerintahkan umat Islam supaya banyak membaca.
Seterusnya,
wahyu kedua diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., iaitu surah
al-Muddasir, ayat1-7.Wahyu ini merupakan pengisytiharan Nabi Muhammad
s.a.w. sebagai Rasullah atau pesuruh Allah yang mewajibkan baginda
menyampaikan ajaran Islam kepada seluruh manusia. Sejak turunnya ayat
al-Quran ini Nabi Muhammad s.a.w. terus –menerus menerima wahyu dan baginda
telah menjalankan seruan kepada orang Arab Quraisy Makkah.
Nabi
Muhammad s.a.w. mula merancang untuk mengubah akidah dan kehidupan
masyarakat sekelilingnya dengan menanamkan keimanan kepada Allah Yang
Maha Esa. Nabi Muhammad s.a.w. menggesa masyarakat di sekelilingnya
untuk meninggalkan amalan yang keji seperti menindas sesama manusia,
membunuh dan mencuri.
Penyebaran Islam di Makkah
Penyebaran Islam di Makkah
dilakukan secara berperingkat,iaitu pada mulanya (3 tahun) dan
kemudian secara terbuka (10 tahun). Dakwah Islamiah secara rahsia
ditujukan kepada ahli keluarga baginda. Dakwah Islamiah secara
terbuka dilakukan setelah baginda menerima perintah Allah supaya
dakwah Islamiah dilakukan kepada masyarakat Makkah secara
terang-terangan.
Baginda telah menjalankan dakwah Islamiah secara
rahsia kepada keluarga baginda sendiri dan sahabat yang rapat.
Mereka yang awal memeluk Islam ialah Khadijah binti
Khuwailid (isteri Nabi Muhammad s.a.w.), Ali bin Abu
Talib (sepupu Nabi Muhammad s.a.w.), Zaid bin Harithah (anak
angkat), dan Abu Bakar al-Siddiq (sahabat karib).Melalui Abu Bakar,
beberapa orang tokoh Quraisy (Uthman bin Affan, Zubair bin Awam dan
al-Arqam bin Abu Arqam)telah memeluk agama Islam.Kemudian, al-Arqam
bin Abu Arqam telah menjadikan rumahnya sebagai pusat kegiatan
Islam yang pertama di Makkah. Walaupun bilangan penganut Islam pada
peringkat ini kecil, ini merupakan kejayaan yang sangat besar bagi
baginda. Untuk memperkenalkan ajaran baru bagi sesuatu masyarakat
tentulah memerlukan pengorbanan yang besar. Ketinggian
akhlak Nabi Muhammad s.a.w.dan kejujuran para sahabat
telah menyebabkan dakwah Islamiah pada peringkat awal mendapat
sambutan. Mereka yang memeluk Islam pada peringkat awal ini bukan
sahaja terdiri daripada golongan bawahan malah golongan bangsawan
seperti Khadijah binti Khuwailid dan Abu Bakar al-Siddiq.
Dakwah Islamiah secara terbuka kepada keluarga Abdul
Muttalib, iaitu kaum kerabat baginda setelah turunnya ayat al-Quran
yang meminta baginda menyebarkan Islam kepada kaum kerabat baginda.
Untuk melaksanakan perintah ini, baginda telah bermusyawarah majlis
ceramah di rumah Ali bin Abu Talib. Dalam majlis itu, Nabi Muhammad
s.a.w. telah menerangkan tentang Islam. Pada peringkat ini,
terdapat antara keluarga baginda yang menerima dan juga yang
menolakseruan baginda. Orang yang paling kuat menentang ialah Abu
Lahab, bapa saudara baginda.
Dakwah Islamiah secara terbuka kepada orang
ramai pula dilakukan di Bukit Safa, Makkah, setelah Allah
menurunkan perintah menerusi ayat al-Quran, al-Hijr, ayat 94.
Majlis ini dihadiri oleh semua ketua pentadbir kota Makkah.
Antaranya termasuklah ketua Bani Abdul Muttalib, Bani Tamin, Bani
Makhzum dan Bani Asad. Perbasan hebat telah berlaku
antara Nabi Muhammad s.a.w.dengan Abu Lahab yang telah
menghina baginda sehingga dakwah Islamiah yang hendak disampaikan
oleh baginda terganggu.
Penentangan Terhadap Islam
Penentangan terhadap
dakwah Islamiah dilakukan dengan pelbagai cara. Selain dicemuh,
Nabi Muhammad s.a.w. turut diganggu semasa beribadat. Contohnya,
semasa baginda bersembahyang, benda- benda yang kotor telah
diletakkan di tengkuk baginda. Malahan ada orang yang ingin
membunuh baginda.
Mengapakah orang Arab
Quraisy Makkah menentang ajaran Islam sedangkan kewibawaan Nabi
Muhammad s.a.w. telah diakui? Penentangan orang Arab Quraisy
Makkah terhadap ajaran Islam adalah disebabkan oleh beberapa
faktor. Antaranya termaksuklah perbezaan dari segi kepercayaan
dan amalan antara orang Arab Quraisy dengan Islam. Ajaran Islam
berasaskan kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa sedangkan orang
Arab Quraisy mempercayai dan mengamalkan tradisi turun- temurun
mereka, iaitu menyembah patung berhala dan mempercayai animisme.
Islam juga ditentang
kerana ajarannya yang menyarankan prinsip persamaan taraf sesama
manusia. Prinsip ini amat bertentangan dengan sistem sosial
masyarakat Arab Jahiliah yang mewujudkan perbezaan darjat antara
golongan atasan dengan bawahan. Selain itu, mereka juge menolak
konsep persaudaraan Islam yang sangat bertentangan dengan konsep
assabiah yang menjadi pegangan mereka. Begitu juga dengan amalan
dan akhlak yang keji seperti mencuri dan menindas yang menjadi
kebiasaan mereka tetapi dilarang sama sekali oleh Islam.
Dari segi politik,
penentangan ini berlaku disebabkan oleh orang Arab Quraisy mempunyai
tanggapan yang salah terhadap tugas nabi. Mereka menganggap jika
mereka menerima agama Islam, mereka akan terpaksa tunduk kepada
kepimpinan Nabi Muhmammad s.a.w.. Sejak dahulu masyarakat Makkah
sentiasa bersaing untuk menjadi ketua atau pemerintah Makkah.
Penyebaran Islam oleh Nabi Muhammad s.a.w. sedikit sebanyak akan
menggugat pengaruh dan kedudukan keluarga mereka di Makkah. Ini
adalah kerana Nabi Muhammad s.a.w. berasal daripada keturunan
yang menguasai kepimpinan kota Makkah.
Penyebaran Islam juga
menggugat ekonomi orang Arab Quraisy kerana hal ini menjejaskan
perusahaan mengukir patung berhala yang merupakan sebahagian
daripada aktiviti ekonomi mereka. Ini disebabkan Islam mewajibkan
penganutnya menyembah Allah Yang Maha Esa dan melarang
penyembahan berhala. Dengan penyebaran Islam, secara tidak
langsung perniagaan patung berhala akan terjejas.
Penentangan terhadap Nabi
Muhammad s.a.w. dan orang Islam dilakukan secara berterusan dan
menerusi pelbagai cara. Penyair Arab Quraisy sering mengejek
ajaran Islam melalui puisi mereka. Walaupun pelbagai tohmahan dan
tuduhan telah dikenakan kepada Nabi Muhammad s.a.w., namun,
baginda menghadapinya dengan tabah dan sabar. Inilah keistimewaan
Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin yang berwibawa dan yang
tidak pernah kecewa dengan dugaan yang ditempuhinya. Kesabaran
merupakan kunci kejayaan kepada orang yang berjuang dalam apa
bidang sekalipun.
Setelah gagal menggunakan
kekerasan, orang Arab Quraisy juga telah memujuk Nabi Muhammad
s.a.w. agar meninggalkan dakwah Islamiah. Pujukan yang dibuat
termasuklah usaha menawarkan kedudukan, wanita cantik dan harta.
Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad s.a.w. dengan tegas menolah
cubaan untuk merasuah baginda.
Orang Arab Quraisy juga telah melakukan pemulauan terhadap Nabi
Muhammad s.a.w. dan keluarga baginda. Mereka telah menulis
pernyataan tentang pemulauan itu dan menggantungkannya di Kaabah.
*Bentuk pemulauan kepada
keluarga Nabi (Bani Hashim dan Bani al- Muttalib)
· Orang Arab Quraisy tidak menjalankan aktiviti
jual beli dengan keluarga Nabi Muhammad s.a.w..
· Mereka tidak memberikan sebarang bentuk
pertolongan kepada keluarga Nabi Muhammad s.a.w..
· Mereka tidak berkahwin dengan anggota keluarga
Nabi Muhammad s.a.w..
Semasa pemulauan ini berlangsung, kehidupan
Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam sangat terhimpit. Walau
bagaimanapun, Abu Talib, bapa saudara Nabi Muhammad, sentiasa
melindungi dan membantu baginda. Pemulauan ini berjalan selama
tiga tahun sahaja kerana kedapatan dalam kalangan orang Arab
Quraisy yang tidak mematuhi peraturan pemulauan ini dengan
memberikan bantuan kepada orang Islam. Golongan Islam yang
berkemampuan telah membantu golongan kurang berada. Khadijah
sanggup berkoban dengan menyerahkan kesemua hartanya demi membantu
perjuangan Islam yang suci. Pengorbanan wanita dalam
memperjuangkan Islam bukan sahaja dilakukan oleh Khadijah di
Makkah, malah diteruskan oleh Aisyah,
Ummu Salamah dan yang lain di Madinah. Hal ini membuktikan bahawa
wanita juga harus melibatkan diri dalam usahah membangunkan
sesebuah negara dengan memberikan bantuan yang diperlukan oleh
pihak tertentu. Dengan bantuan dan sokongan tersebut, sesuatu
masalah yang rumit dapat diselesaikan dengan mudah.
*Aisyah
· Nama sebenarnya ialah Aisyah binti Abu Bakar
dan merupakan isteri Nabi Muhammad s.a.w. yang paling muda.
· Aisyah ialah wanita yang bijak, kuat ingatan,
dan mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang Islam.
· Aisyah menjadi sumber rujukan utama bagi orang
Islam tentang hukum- hukum Islam.
Penerimaan Terhadap Islam
Walaupun wujud
penentangan, dakwah Islamiah yang disampaikan oleh Nabi
Muhammad s.a.w. Di Makkah telah menimbulkan reaksi positif
dalam kalangan masyarakat Arab Quraisy. Ahli keluarga dan
sahabat rapat baginda merupakan orang yang paling awal menerima
dakwah Islamiah. Pada tahap ini, Nabi Muhammad s.a.w. memilih
strategi melakukan dakwah Islamiah secara rahsia pada peringkat
awal kerana Islam masih baru dikenali dan bilangan penganut
Islam masih sedikit. Baginda juga ingin mengelakkan penentangan
yang memungkinkan asas Islam itu dihancurkan.
Kebanyakan penganut
Islam pada peringkat awal ini terdiri daripada golongan bawahan
seperti hamba. Mereka memeluk Islam kerana tertarik kepada
ajaran Islam yang memberikan layanan yang sama kepada semua
manusia. Walaupun ada dalam kalangan mereka yang telah diseksa
dengan kejam tetapi mereka tetap menerima Islam dengan penuh
yakin. Antara mereka yang telah diseksa dengan kejam
termasuklah Bilal
bin Rabah, keluarga Yassir, Amir bin Fuhairah dan
Zunainah. Bilal bin Rabah telah dijerut lehernya dengan tali
oleh tuannya, Umaiyah bin Khalaf. Manakala keluarga Yassir telah
dijemur di padang pasir sehingga Yassir dan isterinya,
Sumaiyah, mati syahid. Amir bin Fuhairah telah diseksa dengan
kejam oleh tuannya sehingga menjadi gila dan Zunainah pula
diseksa oleh Abu Lahab sehingga matanya menjadi buta.
Islam telah dapat diterima
oleh orang ramai pada ketika itu kerana kermurnian ajarannya
dan kebijaksanaan Nabi Muhammad s.a.w. berdakwah. Baginda
berdakwah secara lemah lembut dan berhikmah. Baginda tidak
memaksa orang ramai memeluk Islam tetapi memujuk mereka dengan
menggunakan akal yang dianugerahi Allah. Oleh itu, jasa dan
perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. dalam menyebarkan Islam harus
disanjung tinggi kerana dengan pengorbanan baginda, Islam telah
tersebar luas pada hari ini. Antara pendekatan yang digunakan
oleh baginda termasuklah membandingkan antara nilai akhlak
masyarakat Arab Jahiliah dengan nilai akhlak yang disaran oleh
Islam. Selain itu, Nabi juga membacakan ayat al- Quran untuk
menjawab pertanyaan para sahabat, di samping memberikan
penerangan dan menunjukkan teladan yang baik.
Dalam menyebarkan Islam
Nabi Muhammad s.a.w. telah menanamkan keimanan yang kuat kepada
pengikutnya. Harta bukan menjadi ukuran utama dalam berdakwah,
tetapi kesabaran yang tinggi dan pengorbanan merupakan kunci
kejayaan Islam. Menerusi cara yang digunakan oleh Nabi Muhammad
s.a.w. ity orang ramai mudah tertarik kepada Islam, walaupun
sebelum ini mereka terlalu taasub dengan amalan tradisi
masyarakat mereka. Selain itu, mereka juga telah mengenali
peribadi Nabi Muhammad s.a.w. yang sememangnya terkenal sebagai
orang yang berakhlak mulia. Kekuatan mental, fizikal, dan
rohaniah merupakan kunci kepada kejayaan perkembangan Islam di
Makkah. Kesemua sifat positif Nabi Muhammad s.a.w. ini menjadi
teladan untuk kita dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kita juga
harus menyedari bahawa untuk mencapai kejayaan, kita hendaklah
berusaha mengatasi cabaran dan halangan yang dihadapi.
*Bilal bin Rabah
· Beliau ialah hamba kepunyaan Umaiyah yang
berasal dari Habsyah.
· Beliau telah diseksa oleh tuannya dengan
kejam, misalnya, dengan cara dijemur, diselar dengan besi
panas, dan ditindih dadanya dengan batu. Walaupun diseksa
dengan kejam, Bilal tetap beriman dengan Allah.
· Abu Bakar al- Siddiq telah membeli Bilal
daripada tuannya, Umaiyah, semasa beliau diseksa.
· Beliau ialah muazzin (orang yang melaungkan
azan) pertama pada zaman awal perkembangan Islam.
Nabi Muhammad s.a.w. Menyelesaikan
Masalah
Penentangan
terhadap Islam semakin meningkat setelah bapa saudara Nabi
Muhammad s.a.w., iaitu Abu Talib dan isteri baginda,
Khadijah, meninggal dunia. Oleh itu, baginda telah mengambil
beberapa langkah tertentu untuk mengurangkan tekanan dan
penindasan tersebut. Antaranya termasuklah membenarkan orang
Islam berhijrah ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan.
Nabi Muhammad s.a.w. dan Zaid bin
Harithah pula merancang ke Taif untuk menyebarkan agama Islam
ke tempat baru. Malangnya, usaha ini kurang berkesan dan
tidak dapat mengurangkan tentangan daripada orang Arab
Quraisy.
Sebagai rasul dan pemimpin agung, Nabi
Muhammad s.a.w. tidak pernah berputus asa terhadap apa sahaja
dugaan dan rintangan yang ditempuhinya. Baginda sentiasa
mencari jalan untuk mengatasi tentangan orang Arab Quraisy
terhadap orang Islam. Kesabaran, kecekalan dan sifat tidak
pernah mengalah Nabi Muhammad s.a.w. semasa berdakwah,
menyebabkan Islam semakin kukuh dan tidak dapat digugat oleh
orang Arab Quraisy. Sehingga akhirnya Islam terus
dikembangkan di Madinah dan di seluruh Semenanjung Tanah
Arab.
Dakwah Islamiah tidak dapat disebarkan
dengan menyeluruh di Makkah kerana orang Arab Quraisy Makkah
sentiasa mencari jalan untuk menghapuskan Islam. Oleh sebab
menerima tentangan yang berterusan daripada orang Arab
Quraisy, Nabi Muhammad s.a.w. telah memikirkan strategi baru
untuk meneruskan penyebaran Islam dan baginda telah berhijrah
ke Madinah selepas menerima perintah Allah untuk berbuat
demikian. Begitulah sifat pemimpin yang agung, tabah dalam
menempuh pelbagai dugaan dan bijak dalam menangani cabaran
demi mencapai kejayaan.
Disebabkan usaha penyebaran Islam di
Makkah tidak mendapat sambutan sepenuhnya, Nabi Muhammad
s.a.w. memutuskan untuk berhijrah ke Madinah pada tahun 622
M. setelah baginda menerima perintah Allah dan untuk memenuhi
jemputan suku Aus dan Khazraj. Di Madinah, Nabi Muhammad s.a.w.
berjaya mendirikan sebuah kerajaan Islam yang unggul, iaitu
kerajaan Islam Madinah dan meruskan dakwah Islamiah ke
seluruh Semenanjung Tanah Arab.
*Hijrah ke Habsyah
· Penghijrahan
orang Islam ke Habsyah dari Makkah merupakan hijrah yang pertama.
· Nabi Muhammad
s.a.w. tidak turut berhijrah ke Habsyah kerana ingin
memberikan tumpuan kepada penyebaran Islam di Makkah dan
menjaga keselamatan orang Islam yang tidak berhijrah.
· Ada antara
orang Islam yang berhijrah ke Habsyah menyusuli Nabu Muhammad
s.a.w. yang berhijrah ke Madinah dan ada pula yang kembali
semula ke Makkah.
|
|
|
|
|
|
|
|
No comments:
Post a Comment