Tuesday 23 September 2014

KERAJAAN ABBASIYYAH



1.0       PENGENALAN
Kewujudan kerajaan Islam Abbasiyah bermula daripada perebutan kekuasaan dalam khilafah Islam oleh Bani Abbas. Propaganda tentang kerajaan Islam Abbasiyah bermula daripada pemerintahan Khilafah Umar Bin Abdul Aziz (Bani Umayyah 717-720M). pada awalnya Pusat pentadbiran berpusat di Kota Kuffah dan Khurasan dibawah pimpinan panglima perang yang tersohor bernama Abu Muslim al-Khurasani.

            Dalam pertempuran kuasa, Bani Abbas mendapat kemenangan dan menguasai Syria (Syam). Selepas itu, Kota demi kota dapat dikuasainya. Pada 752M bermulanya kerajaan Islam Abbasiyyah berdiri dengan Khalifah pertamanya iaitu Abu Abbas al-Sayyah. Kerajaan ini berkuasa hingga 1260M.

            Dalam sejarah kerajaan Islam Abbasiyyah, muncul dua kerajaan yang bernaung dibawah Kerajaan Islam Abbasiyyah, iaitu Kerajaan Islam Fatimiyyah dan Ayubbiyah.

            Pada Kerajaan Islam Fatimiyah inilah berdirinya sebuah tempat pendidikan yang terkenal, Al-Azhar sejak tahun 970M dimana sehingga kini menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan. (khusus kepada keagamaan).

            Kebaikan kerajaan Islam Abbasiyah yang berpusat di Iraq dan Ibu Kotanya Baghdad telah membangun dan memajukan pelbagai sistem prasarana dalam bidang pemerintahan, ekonomi, ilmu pengetahuan dan pendidikan, falsafah, keagamaan dan lain-lainnya yang menjadi asas kehidupan moden sehingga hari ini.

            Pendekatan pendidikan dan pengajaran telah melahirkan ramai sarjana Islam mengkaji dan mengembangkan pelbagai ilmu dalam bidang kedoktoran, kimia, fizik, astronomi, matematik, geografi, historiografi, falsafah, kesusasteraan, seni muzik, tafsir, ilmu hadith, fikih, teologi, bahasa dan tasawuf.

            Kemajuan ilmu pengetahuan dan peradaban umat manusia yang menjadi simbol kemajuan umat Islam dan umat manusia secara Universal yang berpusat di Baghdad dan dipelbagai wilayah kekuasaan kerajaan Islam Abbasiyah yang memerintah selama lebih dari 5 abad (752M-1260M).


2.0       KEMUNCULAN KERAJAAN ABBASIYYAH
Berdirinya Kerajaan Abbasiyyah telah diumumkan di Kufah. Kemenangan ini adalah selepas runtuhnya kerajaan Bani Umayyah yang besar, iaitu satu pimpinan dibawah Khalifah Marwan bin Muhammad yang berpusat di semenanjung tanah Arab, dan satu lagi pimpinan oleh Yazid bin Umar bin Hubairah berpusat di Wasit. Sudah semestinya seluruh tenaga digembling untuk menundukkan khalifah Bani Umayyah itu terlebih dahulu, kerana kedudukan kerajaan Abbasiyyah tidak akan teguh dan kukuh selagi khalifah Marwan tidak dijatuhkan.



PEMBUNUHAN TERHADAP MARWAN

Abu-Abass as-Saffah telah mengirim suatu angkatan tentera terdiri dari panglima-panglima pilihannya untuk menentang Khalifah Marwan, dan melantik bapa saudaranya Abdullah binAli memimpin angkatan tentera itu. Khalifah Marwan juga mempunyai satu angkatan tentera yang besar juga terdiri dari penduduk syam yang mempunyai kekuatan sejumlah 120000 orang pejuang. Tetapi  angkatan tentera yang begitu besar gagal mendapat kemenangan,
            Kedua-dua angkatan tentera itu telah bertempur di lembah sungai az-Zab, salah satu cabang Sungai Dajlah (Tigris) dari sebelah timur. Pertempuran berlaku begitu sengit. Angkatan tentera Khalifah Marwan mempunyai cukup bekal dan jumlahnya pun besar, sementara angkatan tentera pimpinan Abdullah bin Ali mempunyai kemahuan untuk mendapat kemenangan, dengan itu semua itu tidak dapat menundukkan semangat dan keinginan yang terkobar-kobar. Demikianlah angkatan tentera Abbasiyah mencapai kemenangan terhadap tentera Marwan. Tentera Khalifah Marwan mengalami kekalahan dalam peperangan penentuan nasib di lembah sungai az-Zab itu. Sejak itu khalifah Marwan tidak lagi berdaya menyusun kembali angkatan tenteranya.



            Khalifah Marwan bin Muhammad telah mengundur diri ke Kota Harran. Abdullah bin Ali Berjaya menjejakinya disana, lalu Khalifah Marwan undur ke Qinnisirin, di utara Syria, kemudian ke Hims dan akhirnya ke Damsyik. Tetapi Abdullah bin Ali terus memburunya dan menakluk kota-kota tersebut. Khalifah Marwan meneruskan pengundurannya ke Palestin dan Mesir. Abdullah tidak lagi mengejarnya tetapi mengarahkan saudaranya Saleh bin Ali, supaya memburu Khalifah Marwan yang saat itu berada di kawasan darat Mesir. Disana berlaku pertempuran terakhir dan tentera Abbassiyyah telah memenggal kepalanya serta membawanya kepada Abu-Abbas.
Yazid bin Umar bin Hubairah
Setelah Khalifah Marwan tumpas, bala tentera Abbasiyah pun bertindak untuk menundukkan Yazid bin Umar bin Hubairah yang merupakan tunggak terakhir bagi Bani Umayyah. Yazid adalah seorang pahlawan Arab yang menurut Qutaibah, sebagai satu-satunya panglima Arab yang berkuasa ke atas Kota Kufah dan Basrah dalam suatu dahulu. Dia seorang tua yang tegak dan tinggi serta merupakan ahli pidato yang lantang dan masih terus memerangi golongan Abbasiyyah walaupun sudah diumumkan pendirian kerajaan mereka. Tetapi apabila Khalifah Marwan terbunuh dan berakhirnya pemerintahan Bani Umayyah, barulah dia berhenti menentang. Demikianlah keadaan Kota Wasit tempat perlindungan Yazid bin Umar bin Hubairah, benteng terakhir bagi Bani Umayyah yang sukar dikepung oleh tentera Abbasiyyah, tetapi telah ditawan secara damai.
            Ketika tiba di Marwu sebuah Kota yang besar di Khurasan, pada tahun 130H. Qahtabah bin Syubaib at-Tha’ie yang baru saja dikirim oleh Ibrahim al-Imam, memimpin sepasukan tentera terdiri dari rakyat khurasan untuk memerangi tentera Bani Umayyah, dan seterusnya mencapai kejayaan sampai tiba di Iraq, dimana Yazid sebagai gabenornya. Qahtabah menyeberangi sungai Euphrates untuk meneruskan tekanan ke atas Yazid, tetapi Ma’an bin Zaidah asy-Syaiban, salah seorang pahlawan Arab yang ketika itu ada bersama-sama Yazid, telah menyerang tentera Qahtabah dengan hebatnya dan Qahtabah sendiri telah mati lemas. Anaknya al-Hasan bin Qahtabah mengambil tempat bapanya memimpin tentera Abbasiyyah itu dan meneruskan serangannya melawan tentera Bani Umayyah serta memaksa Yazid, dimana dia dan pengikutnya berkubu dengan kuat selama sebelas bulan, sampai tiba berita pembunuhan Khalifah Marwan bin Muhammad yang dibawa oleh Ismail bin Abdullah al-Qisri yang berkata kepada mereka: “untuk apa lagi kamu menggadai nyawa, sedangkan marwan telah terbunuh?” lalu mereka pun mengambil sikap untuk berdamai.
            Pihak Abbasiyyah telah mengarahkan seluruh kekuatan mereka ke Wasit, benteng terakhir Bani Umayyah, di mana berhimpun pahlawan-pahlawan pilihan bangsa Arab. Abu-Abbas as-Saffah telah mengirim saudaranya Abu ja’far al-mansyur untuk membantu al-Hasan bin Qahtabah. Abu Ja’far tahu tentang kekuatan tentera Yazid dan pahlawan Arab yang mendukungnya. Di samping itu pula Yazid sendiri merasa peluang untuk menang adalah tipis, setelah terbunuhnya Marwan dan tumbangnya kerajaan Bani Umayyah.
            Maka dimulakan dialog untuk berdamai di antara kedua belah pihak melalui utusan-utusan perdamaian. Akhirnya Abu Ja’far al-Mansur menulis surat kepada Yazid, menawarkan jaminan keselamatan kepadanya. Yazid telah merundingkan tawaran tersebut dengan sekelompok para ‘Alim selama 40 hari, dan hasilnya ialah beliau menerima baik tawaran itu. Keputusan tersebut segera diberitahu kepada Abu Ja’far.
            Sesudah dibuat perdamaian damai, Yazid dan pengikut-pengikutnya pun meletak senjata. Tetapi Abu Muslim al-Khurasani telah menulis surat kepada al-Abbas supaya dibunuh Yazid. Maka kata-kata Abu Muslim tersebut telah menyebabkan al-Abbas telah memerintahkan supaya yazid dan pengikutnya dibunuh.
Kerajaan Bani Abbasiyyah ialah nama yang diberi bagi Khalifah Baghdad Abdullah as-Saffah bin Muhammad bin Ali bin Abdullah bin al-Abbas, iaitu empayar kedua Islam selepas penyingkiran pemerintahan Kerajaan Bani Umawiyyah. Pemerintahan Abbasiyyah adalah berketurunan daripada Al-Abbas, bapa saudara Nabi SAW. Dilahirkan di Hamimah pada tahun 104H. ibunya ialah Ratbah binti Ubaidullah al-Haritsi. Dilantik menjadi Khalifah pada 3 Rabi’ul Awal 132H
            As-Saffah ialah salah seorang dari beberapa Khalifah yang mempunyai seorang isteri dan tidak mempunyai gundik. Mungkin sebab utama iaitu isterinya yang sentiasa disampingnya.
            Oleh itu, mereka merasakan diri mereka layak untuk menjadi Khalifah memandangkan sasilah keturunan mereka itu. Bani Umayyah pula ialah salah sebuah daripada golongan dalam kaum Quraisy yang berlainan daripada keturunan Nabi SAW.
            Muhammad Ibni Ali, cicit kepada Saidina Abbas menjalankan kempen untuk mengembalikan kuasa pemerintahan kepada keluarga Bani Hashim di Parsi semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.
            Semasa pemerintahan Khalifah Marwan II, penentangan ini semakin memuncak dan berakhirnya pada tahun 750, Abu al-Abbas al-Saffah Berjaya menewaskan tentera Umayyah dan kemudiannya dilantik menjadi Khalifah.
            Telah menjadi fakta umum bahawa sesebuah Negara yang tertegak atas proses revolusi terpaksa menghadapi belbagai cabaran. Demikian halnya dengan kerajaan atau dawlah Abbasiyah yang Berjaya merebut kuasa daripada kerajaan Bani Umayyah pada tahun 132H/750M terpaksa menghadapi bermacam-macam rintangan yang timbul akibat rasa tidak puas hati sebahagian rakyat yang sama-sama berjuang menegakkan Negara tersebut. Akibatnya, ramai golongan yang menjadi korban, bukan sahaja semasa perjuangan menegakkan Negara tersebut, tetapi juga dalam proses mempertahankan Negara daripada dilanda krisis politik.
            Kerajaan Abbasiyah terkenal dalam sejarah Islam sebagai kerajaan yang paling banyak menghadapi masalah dan paling banyak mengorbankan nyawa manusia atas pelbagai alasan. Dengan itu, para Khalifah Abbasiyah telah menggunakan segala mekanisme yang ada demi mengekalkan kekuasaan mereka. Malah mengikut Ibnu Tabatiba, tindakan para Khalifah Abbasiyah itu bukan sekadar keganasan jinayah, tetapi juga tipu daya yang dirancang bagi memerangkap musuh-musuh mereka.
            Jelasnya, dalam proses memperkatakan kekuasaan itu para Khalifah Abbasiyah tidak keberatan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang dicurigai tanpa memerlukan bukti yang kukuh.
Pemerintahan Abbasiyyah berlanjutan dari tahun 132H-656H. tempohnya ialah selama 524 tahun. Pada tahun 656H kaum Tatar melanggar dunia Islam. Membunuh Khalifah Abbasiyyah serta kaum keluarganya dan mengumumkan berakhirnya pemerintahan Abbasiyyah.





Nama-nama Khalifah Pemerintahan Abbasiyyah
Berikut ialah senarai nama-nama Khalifah pemerintahan Abbasiyyah, daripada permulaan pemerintahan:
1. Abu Abbas as-Saffah 132H.
2. Abu Ja’far al-Mansur 136H.          
3. Abu Abdullah Muhammad al-Mahdi bin al-Mansur 158H.
4. Abu Musa al-Mahdi 169H.
5. Abu Ja’far Harun ar-Rasyid 170H.
6. Abu Musa Muhammad al-Amin 193H.
7. Abu Ja’far Abdullah al-Ma’mun 198H.
8. Abu Ishak Muhammad al-Mu’tashim 218H.
9. Abu Ja’far Harun al-Watsiq 227H.
10. Abu Fadhl Ja’far al-Mutawakkil 232H.
11. Abu Ja’far Muhammad al-Muntasir 247H.
12. Abdul Abbas Ahmad al-Musta’in 248H.
13. Abu Abdullah Muhammad al-Mu’taz 252H.
14. Abu Ishak Muhammad al-Muhtadi 255H.
15. Abu-Abbas Ahmad al-Mu’tamid 256H.
16. Abu Abbas Ahmad al-Mu’tadhid 279H.
17. Abu Muhammad Ali al-Muktafi 289H.
18. abu Fadhl Ja’far al-Muqtadir 295H.
19. Abu Mansur Muhammad al-Qahir 320H.
20. Abu Abbas Ahmad ar-Radhi 322H.
21. Abu Ishak Ibrahin al-Muttaqi 329H.
22. Abu Qasim Abdullah al-Mustakfi 333H.
23. Abu Qasim al-Mufadhdhal al-Muthi’ 334H.
24. Abu fadhl Abdul Karim at-Tha’I 362H.
25. Abu Abbas Ahmad al-Qadir 381H.
26. Abu Ja’far Abdullah al-Qa’im 422H.
27. Abu Qasim Abdullah al-Muqtadi 467H.
28.Abu Abbas Ahmad al-Mustazhir 487H.
29. Abu Mansur al-Fadhl al-Mustarsyid 512H.
30. Abu Ja’far al-Mansur ar-Rasyid 529H.
31. Abu Abdullah Muhammad al-Muqtafi 530H.
32.Abu Muzhaffar al-Mustanjid 555H.
33. Abu Muhammad al-Hasan al-Mustadhi’ 566H.
34. Abu Abbas Ahmad an-Nashir 575H.
35. Abu Nashr Muhammad az-Zahir 622H.
36. Abu Ja’far al-Mansur al-Mustanshir 623H.
37. Abu Ahmad Abdullah al-Musta’shim 640-656H.

Zaman pemerintahan Abbasiyah ini merupakan puncak zaman sejarah Islam. Di zaman itu kaum Muslimim mulai berhubungan dengan kebudayaan-kebudayaan asing seperti kebudayaan Parsi, kebudayaan Hindu, dan kebudayaan Greek, dan telah menterjemahkan karya-karya penyelidikan yang terpenting ke dalam bahasa Arab.
            Walaupun banyak sumber-sumber asli yang diterjemahkan itu telah hilang, dan yang tinggal hanya terjemahan-terjemahan dalam bahasa Arab sahaja, namun terus terpelihara sebagai kebudayaan-kebudayaan yang amat tinggi nilainya. Malahan di samping menterjemah, kaum muslimin juga telah melengkapi terjemahan tersebut, dengan memberi kritikan dan mencipta yang baru. Hasilnya kebudayaan mereka itu berpindah pula ke barat melalui Sepanyol dan Eropah yang selanjutnya telah menjadi salah satu sebab terpenting kebangkitan Eropah.


3.0       GERAKKAN BANI ABBASIYAH

Terdapat dua cara gerakkan Bani Abbasiyah.Berikut merupakan cara gerakan Bani Abbasiyah :

Gerakan secara Sulit

Kerajaan Abbasiyah tertubuh pada awal kurun kedua Hijrah (98H) pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin Abd.Aziz. Pengasasnya ialah Ali bin Abdullah yang kemudiannya digantikan oleh anaknya Muhammad bin Ali. Gerakkan ini berselindung dibawah nama Bani Hasyim (Alawiyeen dan Ahlil Bait). Pada masa ini mereka tidak menggunakan nama Abbasiyah dengan tujuan untuk menarik sokongan Syiah dan mengelakkan berlakunya perpecahan. Setelah Pemimpin pemberontakan Syiah iaitu Hasyim bin Muhammad menyerahkan kuasanya kepada Ali bin Abdullah pada tahun 98 Hijrah maka Humaimah telah dijadikan sebagai pusat gerakkan dan cawangannya ialah Kufah dan Khurasan. Di Kufah masih terdapat cadangan untuk mengembalikan hak khalifah kepada keturunan Rasulullah / Bani Hasyim.
Khurasan terletak jauh dari Damsyik (Pusat pemerintahan Kerajaan Umaiyah, dan lebih mudah mendapat pengaruh kerana penduduknya pernah menerima layanan buruk dari Kerajaan Umaiyah. Gerakkan pemberontakkan ini lebih giat dan aktif pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abd.Aziz kerana sikap Khalifah yang sangat berlemah lembut. Setelah Ali bin Abdullah meninggal dunia, beliau telah digantikan oleh anaknya iaitu Muhammad bin Ali pada tahun 117 Hijrah. Selepas itu,pemerintahan diganti oleh Ibrahim bin Muhammad pada tahun125 Hijrah.

Gerakan Secara Terbuka

Pada tahun 747M / 129H Ibrahim bin Muhammad menaikkan bendera hitam di Khurasan sebagai cabaran kepada kerajaan Bani Umaiyah (pada ketika itu menggunakan bendera putih). Abu Muslim al Khurasani, pemimpin utama dalam rangka mendirikan Kerajaan Bani Abbasiyah telah berjaya menakluki Meru (ibu kota Khurasan). Pada ketika itu Nassar bin Saiyar (gabenor Umaiyah di Khurasan) meminta bantuan Khalifah Marwan tetapi gagal mendapat apa-apa bantuan dan beliau meninggal tidak lama kemudian.
Selain itu, beliau juga  berjaya menakluki Kufah pada tahun 749M / 131H. Kemudian, Ibrahim bin Muhammad terbunuh dalam peperangan lalu digantikan oleh saudaranya Abdullah bin Muhammad (Abu al Abbas al-Saffah). Selepas itu, Abu al-Abbas mengisytiharkan dirinya sebagai Khalifah Kerajaan Bani Abbasiyah pada tahun 750M / 132H. Walaupun begitu, Khalifah Marwan tidak putus asa lalu bergerak dengan 12,000 tentera dari Harrah manakala tentera Abbasiyah dipimpin oleh Abdullah bin Ali (bapa saudara al-Abbas). Kedua-dua tentera ini bertemu di tebing kiri sungai Zab pada tahun 750M. Tentera Marwan mengalami kekalahan dan Khalifah Marwan lari ke Mesir.
Pada 25 April 750 Masihi Damsyik berjaya ditawan oleh tentera Bani Abbasiyah dan walaupun Khalifah Marwan lari ke Mesir tetapi dapat diburu oleh tentera Abbasiyah dan beliau berjaya dibunuh di satu daerah bernama Bousir / Busir pada 5 Ogos 750 Masihi dan kepalanya dihantar ke Kufah

4.0       FAKTOR KEGEMILANGAN ZAMAN ABBASIYAH
Zaman Abbasiyah sememangnya terkenal dengan kegemilangannya dalam sistem pentadbiran negara Islam selepas kegemilangan Kerajaan Umaiyyah.Terdapat beberapa faktor yang mencetuskan kegemilangan kerajaan Abbasiyah. Faktor yang pertama ialah mengamalkan sistem pentadbiran berpusat yang sistematik dan mantap yang diketuai oleh seorang khalifah. Selain itu, bidang kuasa jabatan-jabatan yang ditubuhkan akan dinilai dari semasa ke semasa agar ia benar-benar telus dan terurus.terdapat juga jabatan-jabatan baru yang diwujudkan untuk melicinkan sistem pentadbiran Negara pada ketika itu.

Dari segi ekonomi, kerajaan Abbasiyah banyak memberi tumpuan kepada tiga sector utama iaitu sektor pertanian, sektor perindustrian dan sektor perdagangan. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk memajukan sektor-sektor ini agar ia tetap memberi hasil kepada Negara dan rakyat. Selain itu, dari segi infrastruktur fizikal dan intelektual juga disediakan kepada rakyat seperti kemudahan hospital, sekolah, perpustakaan dan pusat perniagaan. Hal ini menyebabkan segala keperluan rakyat tersedia dan tidak membebankan rakyat dan dapat menikmati kehidupan yang aman dan tenteram tanpa sebarang masalah besar yang timbul.

            Dari aspek pertahanan pula perubahan drastik telah dilakukan dengan memberi peluang kepada orang bukan Arab untuk menyertai pasukan ketenteraan.Di samping itu, dasar pertahanan juga turut diubah daripada hanya memberi tumpuan kepada perluasan kuasa kepada aktiviti-aktiviti untuk membendung pemberontakan.

            Kestabilan politik juga menyumbang kepada factor kegemilangan kerajaan Abbasiyah.Pihak kerajaan pemerintah memberikan perhatian yang serius terhadap pembasmian pemberontakan dan perbalahan antara puak-puak yang ada pada zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyah.Di samping itu,dasar politik kerajaan Abbasiyah adalah memberikan layanan yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan serta banyak menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan Negara-negara luar.

Kedudukan Baghdad yang strategik juga mempengaruhi kegemilangan kerajaan zaman Abbasiyah.Hal ini demikian kerana,kedudukan Baghdad berada di tengah-tengah laluan para pedagang dari timur dan barat bahkan ia juga merupakan pusat kegiatan perdagangn dan pusat pertemuan sarjana dari timur dan barat.
Selain itu,perpaduan antara kaum juga dititikberatkan dengan memberi layanan yang adil kepada semua bangsa seperti Turki,Parsi dan Arab dan mereka diberikan hak yang sama untuk menjawat jawatan dalam negara.Orang bukan Islam juga diberi layanan yang baik selagi mana mereka tidak mengkhianati kerajaan Islam dengan cara bebas mengamalkan ajaran masing-masing.



5.0       FAKTOR KEMEROSOTAN KERAJAAN ABBASIYAH
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan jatuhnya empayar kerajaan Abbasiyah yang dapat diambil pengajaran daripadanya. Faktor pertama yang menyebabkan kemerosotan atau kejatuhan pemerintahan zaman Abbasiyah adalah faktor kelemahan pemerintah pada ketika itu. Kerajaan Abbasiyah pada ketika itu di bawah kekuasaan Al-Wasiqm dan beliau tidak melakukan sebarang pembaharuan dalam sistem pemerintahan dibawah kekuasaannya. Beliau hanya bergantung kepada pegawai-pegawai Turki untuk mentadbir negara.

Disebabkan hal ini tiada perubahan ia menyebabkan saudara al-wasiq iaitu Al-Mutawakkil mengambil alih takhta pemerintahan dan cuba untuk mengembalikan kegemilangan pentadbiran khalifah tanpa ada campur tangan oleh pegawai berbangsa Turki dan Parsi. Malangnya, usaha beliau tidak dapat diteruskan kerana pengaruh Turki dan Parsi begitu kuat mengusai percaturan politik kerajaan Abbasaiyah.

Selain itu, terdapat juga masalah lain yang timbul sehingga berlakunya kejatuhan pemerintahan kerajaan Abbasiyah. Masalah tersebut adalah berlakunya perpecahan wilayah di bawah kekuasaan kerajaan Abbasiyah. Peristiwa bersejarah ini berlaku  pada akhir kurun ke-9 masihi. Impak peristiwa ini telah menunjukkan bahawa kuasa khalifah semakin terbatas dan ia sememangnya memberi pengaruh negatif yang besar terhadap kerajaan Abbasiyah. Akibat daripada peristiwa ini juga menyebabkan banyak jawatan penting kerajaan disandang oleh bangsa Turki dan Parsi. Kesan daripada itu ialah bangsa-bangsa ini mula mengorak langkah dengan menubuhkan kerajaan dan pengaruh mereka sendiri dan kesan yang paling buruk sekali ialah berlakunya keruntuhan kekuasaan kerajaan Abbasiyah.

Selain itu, setiap sejarah kerajaan yang memerintah mesti mempunyai permasalahan yang berkaittan dengan kuasa pemerintahan. Begitu juga berlaku dalam pemerintahan kerajaan Abbasiyah. Permasalah yang berlaku berkaitan dengan perebutan kuasa ialah terjadi apabila putera-putera al-mutawakkil bertegang urat dan bergaduh merebut kuasa untuk menjadi khalifah. Oleh sebab itu, kerajaan Abbasiyah menjadi lemah dari aspek pentadbiran dan menyebabkan berlakunya perpecahan kerajaan Abbasiyah.
Ekonomi memainkan peranan yang penting dalam membentuk sesebuah kerajaan yang mantap dan kukuh serta mampu bersaing dengan kerajaan-kerajaan lain yang sememangnya diakui kukuhnya sistem pemerintahannya. Begitu juga yang diperlukan oleh kerajaan Abbasiyah untuk membentuk kerajaan islam yang mantap dan disegani oleh penduduk dunia pada ketika itu. Tetapi disebabkan masalah kegawatan ekonomi yang melanda menyebabkan kerajaan Abbasiyah menjadi tidak stabil. Kesan daripada masalah kegawatan ekonomi membawa kepada munculnya masalah rusuhan dan pemberontakan pada akhir zaman kegemilangan Abbasiyah dan sekaligus mengganggu perkembangan kerajaan Abbasiyah pada ketika itu.

Selain itu, kesan daripada kegawatan ekonomi yang melanda menyebabkan para pedagang tidak lagi berkunjung ke Baghdad dan ini menyebabkan dana yang tersimpan di baitulmal semakin merosot nilainya berbanding dengan peruntukan yang dikeluarkan.

Di samping masalah kegawatan ekonomi yang melanda pemerintahan kerajaan Abbasiyah, terdapat juga masalah perselisihan aliran fahaman keagamaan yang timbul tanpa disangka.Pemberontakan sering berlaku ke atas pemerintahan kerajaan Abbasiyah dan ini menyebabkan sistem pemerintahan menjadi tidak teratur dan kacau-bilau. Antara pihak yang bertanggungjawab dalam agenda pemberontakan terhadap kerajaan Abbasiyah ialah pemberontak dari golongan Syiah. Selain itu, terdapat juga satu lagi golongan yang seangkatan dengan golongan Syiah yang melakukan pemberontakan iaitu pemberontak dari golongan Khawarij. Hal ini demikian kerana kedua-dua golongan pemberontak ini berpendapat bahawa jawatan khalifah hanya layak disandang oleh pemimpin dari kalangan kumpulan mereka sahaja. Hal ini telah menyebabkan keamanan dan ketenteraman Negara telah terganggu dan rakyat hidup dalam keadaan yang tertekan dan kehidupan menjadi tidak tentu arah.

Kerajaan Abbasiyah juga terpaksa menghadapi serangan dari luar yang berhasrat untuk melihat kegemilangan kerajaan Abbasiyah jatuh menjunam dan terus tersungkur. Pada akhir zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyah, musuh-musuh dari utara iaitu dari Gorgia dan Armenia telah menyerang kerajaan Abbasiyah dan menyebabkan kerajaan menjadi tidak stabil. Selain itu, pihak barat juga telah menyerang kerajaan Abbasiyah iaitu ketika berlakunya Perang Salib serta kerajaan Monggol dari kawasan timur turut menyerang kerajaan Abbasiyah. Hal ini menyebabkan kerajaan Abbasiyah tidak dapat bertahan lama dan akhirnya terus jatuh dan berakhirnya zaman kegemilangan kerajaan Abbasiyah.



6.0       KEMAJUAN YANG DICAPAI OLEH KERAJAAN ABASIYYAH
Penterjemahan Ilmu Pengetahuan
Memang tidak dapat dinafikan bahawa orang islam di abad permulaan kelahiran Islam adalah merupakan golongan masyarakat yang rajin belajar dan rajin mencari ilmu pengetahuan. Factor yang besar berlaku demikian ialah kerana agama Islam sendiri sentiasa menggesa umatnya supaya belajar walaupun terpaksa berhijrah ke rantau yang jauh. Bahkan agama Islam menjadikan belajar dan mencari ilmu pengetahuan itu adalah satu perkara fardhu yang diwajibkan. Walaupun fardhu itu pada peringkat farhdu kifayah sahaja, tetapi sudah cukup untuk dijadikan dorongan utama kea rah itu.
Sebagaimana yang diketahui bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang Rasul yang tidak tahu membaca dan menulis. Oleh yang demikian, sepeninggalannya tidak ada apa-apa warisan tentang buku-buku atau pun kutub Khazanah selain daripada al-Quran dan Hadis. Tetapi oleh kerana dorongan dari al-Quran dan Hadis itu sangat kuat meminta umat Islam supaya belajar, dan asasnya secara umum telah pun ada di dalam kedua-dua kitab yang berlainan, maka usaha-usaha secara serius telah dijalankan walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Mereka belajar melalui sesiapa sahaja yang ingin mengajar mereka. Mereka menjemput cerdik pandai daripada berbagai bangsa dan agama serta menjemput pendita-pendita dari luar negeri datang ke pusat pengajian mereka dengan bayaran gaji yang lumayan dan layanan yang istimewa.
Oleh kerana tidak mempunyai buku ilmu pengetahuan yang lengkap, maka buku-buku dari bahasa asing diterjemahkan secara besar-besaran ke dalam bahasa Arab. Tugas-tugas terjemahan ini adalah penting dan dianggap  sebagai sumber pemikiran Islam di samping al-Quran dan Hadis. Bagi tujuan itu, terpaksa terlebih dahulu belajar bahasa-bahasa yang berkenaan sehingga lahirlah di kalangan mereka cerdik pandai yang dapat menguasai berbagai bahasa, seperti bahasa Parsi, Yunani, Hindu dan lain-lain. Jabir bin Hayyan terkenal di kalangan orang Eropah dengan nama “Geber” adalah seorang penterjemah Islam yang paling handal dan cekap sekali. Di samping itu, ia juga seorang ahli sains dan sasterawan yang terbilang pada zaman kerajaan Abbasiyyah.
Gerakan penterjemahan telah sampai kemuncaknya pada zaman pemerintahan Khalifah al-Makmum, di mana terdapat sebuah akademi khas di Baghdad yang didirikan untuk tugas-tugas terjemahan. Di dalam akademi ini diterjemahkan buku-buku penting dari pelbagai bahasa ke bahasa Arab. Yahya bin Masaweh telah dilantik sebagai pengetuai akademi itu. Beliau juga diketahui telah menterjemahkan banyak buku perubatan untuk Khalifah Harun al-Rashid.
Di samping itu juga, hasil daripada usaha-usaha penterjemahan maka lahirlah cerdik pandai Islam dari orang-orang Arab yang menuntut ilmu pengetahuan dari kitab-kitab asing yang diterjemahkan. Mereka telah dapat membaca dalam buku-buku yang terpenting yang ditulis oleh Hippocrates, Galen Plonlemy dan lain-lain buku serta ulasan.
Mereka kemudiannya bekerja keras di semua pusat pengajian Islam di dunia Islam waktu itu untuk mengembangkan ilmu pengetahuan. Antara bidang-bidang ilmu pengetahuan yang mendapat tumpuan ialah ilmu perubatan, ilmu astronomi, ilmu kimia dan lain-lain.


Astronomi
Dalam bidang ilmu astronomi, Khalifah al-Makmum merupakan pelopor utama mendirikan pusat penyelidikan ilmu yang berkenaan dengan menggunakan alat-alat yang sudah agak sempurna dan teratur di Baghdad. Tujuannya untuk mengetahui gerak-geri bintang di langit supaya mereka dapat mengetahui perihal musim-musim dan perjalanan angin, tidak sebagaimana ahli astronomi sebelum Islam dahulu kala yang bertujuan mengetahui nasib baik dan nasib buruk yang akan menimpa menusia.
Mahaguru yang utama Ilmu Astronomi yang terhandal di waktu itu ialah al-Khawarizmi. Beliau telah menyelidiki kitab-kitab ilmu yang berkenaan dari umat India, Parsi, Yunani dan Mesir, kemudian memberi pendapatnya menurut lunas-lunas Islam. Dengan usahanya orang-orang Islam tidak lagi banyak terpengaruh oleh khayalan dan dongengan zaman silam. 


7.0       PERKEMBANGAN EKONOMI ZAMAN ABBASIYAH

Perkembangan ekonomi pada zaman kerajaan Abbasiyah bermula pada pemerintahan Khalifah Abu Jafar al-Mansur. Pada ketika itu, beliau memindahkan pusat pemerintahan kerajaan dari Damsyik ke Baghdad dan disitulah terbina dan bermulanya Baghdad. Ia dibina bersebelahan dengan Sungai Dajlah (Sungai Tigris) dan berbentuk bulatan serta mempunyai empat buah pintu. Kota Baghdad pada masa itu dibina dengan dikelilingi benteng-benteng yang kukuh serta ditengahnya dibina Masjid Jamek al-Mansur.


Keistimewaan Baghdad Dari Segi Ekonomi

Baghdad merupakan satu tempat atau lokasi yang amat istimewa dari segi ekonomi. Hal ini demikian kerana kedudukannya yang strategik dan ia merupakan laluan perdagangan oleh pedagang dari Timur dan Barat. Selain itu, Kota Baghdad juga terdapat sebuah pasar yang dikenali sebagai ‘Suk Baghdad’ yang menjadi tumpuan para pedagang dari Parsi. Di samping itu, terdapat juga ladang pertanian dan ternakan serta terdapat juga sebuah pasar yang dikenali sebagai ‘Suk al-Baqar’.


Sumber Utama Kewangan Zaman Abbasiyah

Sumber utama kewangan kerajaan Abbasiyah pada waktu itu terbahagi kepada tiga. Sumber yang pertama ialah hasil daripada kegiatan perdagangan yang sememangnya banyak menghasilkan keuntungan dan dapat menambah lagi kewangan pada waktu itu supaya stabil dan dapat diguunakan untuk pembangunan.
            Sumber utama yang kedua pula ialah daripada hasil perindustrian yang banyak membuahkan hasil dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
           
 Sumber utama yang ketiga pula ialah dari hasil sektor pertanian. Sememangnya telah diketahui bahawa sektor pertanian membuahkan banyak hasil yang lumayan. Oleh itu, tidak hairanlah sektor pertanian menjadi salah satu daripada tiga sumber utama kewangan kerajaan Abbasiyah pada ketika itu.





8.0       KESIMPULAN

Setelah dihayati dan dipelajari daripada kisah kegemilangan Kerajaan Abbasiyah banyak pengajaran dan ikhtibar yang dapat diambil daripadanya. Antaranya adalah banyak kemajuan sains dan teknologi Eropah diambil dari zaman kegemilanagn Abbasiyah melalui tentera salib ketika berperang dengan barat.

            Selain itu, ciri-ciri kubu pertahanan juga dapat diambil pengajarannya daripada teknik-teknik ketenteraan dan ilmu-ilmu ketenteraan  semasa bertempur dengan eropah.





http://saffdakwah.blogspot.com/2011/12/kerajaan-abbasiyyah.html

RUJUKAN
Ismail Ahmad, Pengantar Sejarah Umat Islam, Kuala Lumpur, Heinemann (Malaysia) Sdn           Bhd, 1985, hlm. 84.
Mohd Azri Awang, 1996, Sejarah dan Tamadun Umat Islam Zaman Abbasiyyah, Tesis                 Master, Jabatan Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia,hlm 76.
Anon, 2006, Sejarah dan Perkembangan, Htpp://www.scribd.comTESIS-AKU-Abbasiyyah-       Sejarah-Dan-Perkembangan.[6 Oktober 2011]
Abdul Rauh Yaacob, 1994, Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam, Kuala Lumpur: Dewan          Bahasa & Pustaka,.
Abdul Rahman Abdullah, 1981, Sejarah dan Pemikiran Islam, Selangor: Penerbitan Pena            Sdn. Bhd,.
Mahmood Mohd Taib An Najmi, 1971, Sejarah Tamadun Islam, Kelantan: Pustaka Aman                        Press.
Ismail Bakar. 2001. Kemelut Politik Dalam Zaman Umawi dan Abasi. Universiti Kebangsaan       Malaysia: Pusat penerbitan & Teknologi Pendidikan.
Khairuddin Haji Muhammad. 1979. Sejarah Islam. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan    Pustaka.
Mahayudin Haji Yahaya,Ahmad Jelani Halimi, 1942, Sejarah Islam, Shah Alam, Penerbit            Fajar Bakti 1993.
A ‘Umar, Faruq, 1983, Al-‘Abbasiyun al-Awa’il,132-247 H/794-861 M : al-Thawrah, al-   Dawlah, al-Mu’aradah / Faruq ‘Umar Fawzi. ‘Amman : Dar Majdalawi, 2003.
M.A Shaban. 1970, The ‘Abbasid Revolution, London. Cambridge Universiti Press.

No comments:

Post a Comment